Thursday, May 24, 2012

KELEBIHAN MATHURAT/AL-WAQIAH/AL-MULK

KELEBIHAN AL-MATHURAT  DALAM KEHIDUPAN PELAJAR
Di dalam al-Mathurat ada himpunan ayat-ayat al-Quran pilihan, doa-doa daripada Nabi Muhammad S.A.W dan banyak fadilat dan kelebihannya bagi sesiapa yang membacanya selepas subuh dan selepas asar/magrib. Kelebihannya adalah seperti berikut :

1. Tidak dihampiri syaitan

2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini.

3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.

4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.

5. Selamat dari segala sesuatu.

6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.

7. Allah berhak untuk meredainya

8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.

9. Terhindar daripada syirik.

10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.

11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.

12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.

13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh Allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.

14.Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.

Marilah kita amalkan zikir-zikir di dalam al-Mathurat untuk meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah S.W.T. dan dapat memelihara diri kita daripada gangguan sihir dan bisikan syaitan.

KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL-MULK : SATU RENUNGAN
SURAH Al Mulk (beerti Kuasa Pemerintahan) merupakan Surah yang ke-67 di dalam Al Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”

(HR At Tarmizi)

Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.

(HR At Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)

(HR At Tabrani)

An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”


Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”

Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”

Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.

Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”

Ya Allah ! Selamatkanlah kami daripada azab-Mu dengan keampunan-Mu.





KELEBIHAN SURAH AL-WAQIAH
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafal Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.

Di dalam surah Al-Waqi’ah terkandung beberapa khasiat dan kelebihan, antara lain:
  • Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
     
  • Bila di baca 14 kali setiap selesai solat Asar, maka orang yang membacanya itu akan memperoleh kekayaan yang berlimpah ruah.
     
  • Jika di baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk), insyaAllah di tunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.
     
  • Supaya menjadi orang yang kaya sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya’. InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan di jadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.
     
  • Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki. Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat. Setiap selepas solat fardhu bacalah Surah Al-Waqi’ah ini sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya; pada malam Jumaat berikutnya itu, selepas solat Maghrib bacalah surah ini sebanyak 25 kali, selepas solat Isya’ bacalah surah ini sebanyak 125 kali diikuti dengan selawat keatas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah surah ini sekali pada waktu pagi dan petang. Insya’Allah berhasil.
     
  • Surah ini jika dibaca disisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, InsyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca disisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya:
  • Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.

    Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
     
  • Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.                                                                            




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...