Wednesday, November 24, 2010

TAUBAT


Kita  selalu  mendengar  bahawa  selepas  kita  melakukan  kesalahan  secara  tidak  sengaja  mahupun  sengaja,  kita  perlu  bertaubat  dengan  meminta  maaf  kepada  manusia  jikalau  kesalahan kita  kepada  manusia  tetapi  kalau  kesalahan  kita  kepada  Allah kita  perlu  beristighfar  kepada  Allah  dengan  menyesali  perbuatan  tersebut.  Bagaimanakah  kita  hendak  beristighfar kepada  Allah? Itulah  persoalan  yang  perlu  kita  tanyakan  kepada  diri  sendiri.  Konsep  beristighfar  atau  dikatakan  cara  memohon  maaf  kepada  Allah adalah  seperti  berikut:
1.menyesali  perbuatan  yang  dilakukan
2.tidak  mengulangi   amalan  maksiat
Banyak  lagi  amalan  yang  dikatakan  sebagai  perbuatan  taubat  kepada  Allah.Saya  ingin  menjelaskan  salah  satu  amalan  taubat  iaitu  cara  berdoa  kepada  Allah.Pertamanya  tentulah  kita perlu  memuji  Allah  dengan  memasukkan  nama-nama  Allah  iaitu  Asmaul  Husna  seperti   Ya  Hayyu  Ya  Qayyum,Ya  Syakur  dan  berselawat  kepada  Rasulullah  serta  ahlul  bait.Selepas  itu,kita  perlu  memberitahu  kepada  Allah  akan  kesalahan-kesalahan  dan  kelemahan  kita  yang  kerdil  ini  yang  memang  tidak  dapat  dielakkan.  Pada  masa  itu  kita  perlu  mengutamakan  dua  kaedah  ini  agar  taubat  kita  diterima  oleh  Allah s.w.t.Hal  ini  disebabkan  kita  perlu  mendapatkan  keampunan kepada  Allah  selepas  itu  barulah  kita  boleh  memohon  kepada  Allah  apa sahaja  hajat  kita.  Insyaallah,  Allah  s.w.t  akan  memakbulkan  doa  kita  apabila  taubat  telah  diterima  Allah.
Doa  yang  kita  pinta  mestilah  perkara-perkara  kebaikan  yang  membawa  kita  ke  arah kejayaan  dan  ketenangan  jiwa  yang  perlu  kepada  kehidupan  kita  yang  kerdil  ini.  Kita  perlulah  mengharapkan  keredhaan  Allah dan  penerimaan  Allah  terhadap  doa  kita.
Hal  ini   disebabkan  hidup  kita  hanya  kerana Allah  dan  sebagai  hamba-Nya  kita  perlulah bersyukur  atas  nikmat  yang  diberikan  oleh  Allah.Tanpa  berlengah  masa  kita  perlu  menyahut  seruan  azan  dan  bersegera  mengerjakan  solat.Tanpa  berlengah  masa  kita  menyahut  seruan jihad  yang  diuarkan  oleh  para  pendakwah  untuk berjuang  ke  jalan  dakwah.Maka  perlulah kita  ingat  itulah  antara  jalan  taubat  yang perlu  kita  renangi  dalam  kehidupan  kita  sebagai  muslim.Kita  masih  berada  dalam  lingkungan  manusia  yang  digolongkan  sebagai  orang  awam iaitu  iman  yang  berada  tahap  biasa  dan  sekejap  ke  arah kejahatan  dan  sekejap  ke  arah  kebaikan.Orang  seperti kita  juga  tidak  mahu  mengambil  risiko dalam bidang  dakwah  secara  berterusan  dan  tidak  berupaya  dapat  mengekalkan  keutuhan  semangat  yang  sebenar.Golongan  juga  tidak  mahu  terlibat  dengan  perkara –perkara  yang  menyebabkan  mereka  menanggung  bebanan  yang  berat  serta  kesan  yang  bahaya.Sepatutnyalah  kita  berusaha  untuk  memantapkan  iman  kita  ke  tahap yang  lebih  tinggi  dengan  sentiasa  bertaubat  setiap  masa  dan  di  mana  jua.Apabila  ternampak  perkara  maksiat  segera  mengalihkan pandangan  dan  beristighfar  di  dalam  hati  dan  di  mulut.  Hal  ini  menyebabkan  kita  terjaga  daripada  hasutan  syaitan.Sesungguhnya  kita  beristighfar  di  dalam  hati  akan   memberi  kesan  kepada  diri  dengan lebih  mendalam  serta  berkesan.
 

Rapatkan saf
 Usahakan barisan terbaik KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah "Luruskan saf" atau "Rapatkan saf".
Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?
Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat.
Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :’Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan.’’ (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah:
"Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba."(Riwayat Bukhari).

Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan."(Riwayat Ibnu Majah)
Kelebihan Solat di Saff Pertama
1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat.
Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?'' Kami bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?" Jawab Nabi: "Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan." (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.

2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk mereka yang berada di saf-saf paling hadapan.
Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Rasulullah menjawab: "Ya, juga saf kedua." (Riwayat Ahmad).
Selawat Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: "Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka." Selawatnya para malaikat pula: "Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan." Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.

3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali.
Daripada 'Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali. (Riwayat Ibnu Majah).
 

Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita. Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini.
Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama. Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat. Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.
Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda:
"Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah."(Riwayat Muslim).
Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama. PERANAN IMAM Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda:
"Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku."
(Riwayat Bukhari)
Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan "luruskan saf", "luruskan saf" tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak. Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga.
Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat. Daripada Albara' bin 'Aazib berkata:
Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: "Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!"
Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa' ar-Rasyidin.
 

Cara Meluruskan Saff

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani:
''Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut. Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:
1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.
Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:
Daripada Nu'man bin Bashir berkata:"Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya." (Riwayat Abu Daud).

Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda: (Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).

Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia. Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan. Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut. Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.
Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan. Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia.

Hikmah Merapatkan Saff

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat.
Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).
2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam.
Sabda Rasulullah:"Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu."(Riwayat Muslim).
Sabda Baginda lagi:"Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu." (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur: ''Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.
3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat.
Sabda Rasulullah: Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).
4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf.
Sabda Rasulullah: Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).
5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya.
Rasulullah bersabda:"Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf."(Riwayat Thabrani).
Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia. Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya. Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

Tips-tips penting sebagai Pemimpin pelajar
1. Sifat-sifat Seorang Pemimpin
Berilmu
Bertaqwa
Yakin pada diri sendiri
Mengenali jiwa dan citarasa ahli dan sesama pimpinan
Teladan dan contoh yang baik kepada pelajar
Pandangan yang jauh dan tajam
Tenang dan tidak kalut
Istiqomah dan sabar
Berkorban
Tidak mengenal erti mengeluh
Bersikap terbuka
Berani
Tegas
Lunak terhadap sesama ahli
Mampu bergaul dengan semua peringkat pelajar

2. Psikologi Kepimpinan
Kebolehan untuk memimpin
Kebolehan membuat keputusan dengan cepat dan tepat
Keutuhan peribadi
Mempunyai semangat juang
Mempunyai daya reka
Kebolehan mengananalisis suasana yang dihadapi
Berkeupayaan untuk memahami orang lain (bersikap terbuka)
Berani bertindak dalam menghadapi risiko.
Mengurus dengan baik
Boleh bertutur dengan jelas dan meyakinkan





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...