Wednesday, December 8, 2010

Terapi jiwa terbaik


Allah  SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 156 yang bermaksud: “Dan rahmatku meliputi segala sesuatu.”

Begitu juga dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu sekalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia adalah Zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Dalam kitab Riadis Solihin, Imam al-Nawawi meletakkan dua ayat al-Quran ini dalam bab Berharap Pada Allah.
Pertamanya, untuk menghilangkan perasaan sedih dan dukacita hendaklah kembali rujuk kepada Allah SWT dengan bertaubat agar jiwa menjadi suci dan tenang. Sebaiknya, bangun waktu malam dan solat taubat.
Kedua, banyakkan menyebut istighfar dan menyebut: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Kami sudah menzalimi diri kami (dengan melakukan banyak maksiat). Sekiranya Engkau tidak mengampuni dosa kami dan tidak merahmati kami, nescaya kami akan termasuk golongan orang yang rugi (terutamanya di akhirat).
Ketiga, banyak melakukan muhasabah diri dan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Di samping itu banyakkan doa seperti doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah, perelokkanlah agama (pada diri kami) yang menjadi benteng segala urusan kami dan perelokkanlah dunia kami yang padanya kami mencari penghidupan dan perbaikilah akhirat kami yang padanya kami kembali (untuk menerima balasan) dan jadikanlah hidup, bertambah-tambahnya kebaikan (amal soleh) dan jadikanlah mati, kerehatan daripada segala yang buruk.”
Selain itu, banyakkan membaca doa yang dibaca pada waktu pagi dan petang yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kegelisahan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah (jiwa) dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil serta aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.” – Riwayat Abu Daud.
Keempat, banyakkan melakukan perkara yang beroleh ketenangan seperti istiqamah dalam solat berjamaah, banyakkan melakukan solat tahajud, berzikir, menghadiri pengajian agama, berdamping dengan alim ulama, berusaha memantapkan keimanan dengan meningkatkan ilmu agama, berfikir tentang akhirat, bergaul dengan orang yang mempunyai akhlak yang baik serta menghubungkan silaturahim dengan kaum kerabat.
Di samping itu, hendaklah berusaha mencari keredhaan Allah SWT dengan berpegang teguh dengan agama serta melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Jangan mencari reda manusia sehingga menderhakai Allah SWT kerana ia menjadikan anda sedih dan kecewa.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 63 yang bermaksud: “Hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang (Ibadur-Rahman) itu iaitu orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.
Menurut tafsir Ibnu Kathir dalam menjelaskan ayat berkenaan iaitu antara sifat hamba Allah SWT yang beriman iaitu:
Pertama, seperti disebut Allah SWT, “orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati…” bermaksud dengan tenang dan tenteram tanpa menampakkan kesombongan serta takbur.
Kedua, seperti disebut selepasnya, “Dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi keselamatan)” yang bermaksud, apabila orang jahil menegur mereka dengan ucapan kotor, mereka tidak membalasnya dengan teguran sama. Malah mereka memaafkan, menyambut dengan santun dan tidak mengatakan sesuatu selain ucapan yang baik. Hal sebeginilah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...