Saturday, July 14, 2012

Assignment Madah Fiqh Al-Ibadat


PERKARA MAKRUH BAGI ORANG YANG BERPUASA

Ada beberapa perkara yang dilakukan oleh orang yang sedang berpuasa, dihukum sebagai makruh oleh sebahagian ulama,sebahagian ulama menghukum sebagai haram dan sebahagian lagi menghukum sebagai harus. Berikut penjelasannya dan pendapat para ulama ahli fiqh mengenai masalah tersebut :

1.    Merasa makanan, dan makan makanan yang ada di celah-celah gigi. Seperti yang sudah saya katakan tadi,harus hukumnya seseorang wanita merasa masakan dan juga harus hukumnya seseorang merasa makanan yang hendak dibelinya jika perkara itu memang diperlukan. Tetapi jika tidak diperlukan, maka merasa makanan hukumnya makruh ,dan tidak boleh menelan makan yang dirasa. Jika perkara itu dilakukan,boleh membatalkan puasa.

Jika pada waktu pagi, seseorang mendapati sisa makanan di celah-celah giginya yang susah untuk  ditanggal sehingga ditelannya, maka berdasarkan kesepakatan para ulama, perkara itu hukumnya tidak mengapa. Perkara ini dianggap sama seperti air liur. Jika sisa makanan tersebut cukup banyak dan boleh ditanggalkan tetapi ia tidak mahu menanggalkannya malah ditelannya. Menurut  sebahagian  besar ulama fiqh,perkara itu membatalkan puasa. Alasannya, kerana ia melakukannya dengan sengaja.
Sementara menurut para ulama daripada mazhab Hanafi,perkara ini tidak membatalkan puasa namun makruh kalau makanan yang berada di celah-celah gigi tersebut lebih kecil daripada biji kacang.
2.    Mengunyah ‘ilk (gula-gula getah). Jika seseorang mengunyah ‘ilk atau sesuatu daripada bahan apapun lalu ada yang masuk ke dalam perut , berdasarkan kesepakatan para ulama, hal itu membatalkan puasa, baik  sesuatu itu rasanya manis atau pahit. Alasannya, kerana hal itu dianggap sama seperti memakan makanan, sehingga dihukumi membatalkan puasa. Menurut sebahagian ulama ahli fiqh, orang yang berkenaan wajib mengganti puasanya sahaja. Manakala menurut sebahagian ulama fiqh yang lain, di samping mengganti puasanya, ia juga wajib membayar kafarat.
    Jika sesuatu yang dikunyah tersebut tidak ada yang masuk ke dalam perut, hal itu hukumnya makruh. Alasannnya, kerana tidak sepatutnya orang yang sedang berpuasa melakukan perkara tersebut. Pendapat tersebut berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatlah oleh Al-Baihaqi,
“Janganlah orang yang sedang berpuasa itu mengunyah ‘ilk (gula-gula getah).”

 Di luar puasa,hukumnya makruh seorang lelaki mengunyah ‘ilk(gula-gula getah) kecuali jika bersendirian, kerana dianggap dapat mengurangkan kehormatan (maruah). Tetapi hal itu digalakkan bagi kaum wanita.
3.    Berlebihan dalam berkumur dan beristinsyaq. Berkumur dan beristinsyaq itu hukumnya sunat, bahkan ada yang mengatakan wajib baik ketika hendak berwudhu’ mahupun hendak  mandi junub. Ada sesetengah orang yang berusaha menghindari perkara itu ketika sedang berpuasa. Ini jelas mengelirukan. Ada juga sesetengah orang yang ketika berkumur atau beristinsyaq hanya sekadar mengusapkan air pada bibir dan hidung sahaja. Dan jika ia memasukkan air ke dalam mulut dalam keadaan yang lama, ia tidak mahu mengeluarkannya dengan segera daripada mulutnya. Perbuatan seperti itu sama sekali tiada ada dalam agama, dan bertentangan dengan semangat pelaksanaan hukum syariat  Islam yang cenderung mengutamakan kemudahan-kemudahan serta menghilangkan kesusahan-kesusahan. Sebaiknya, berkumur dan beristinsyaq sekadarnya, dan tidak perlu berlebihan kerana perkara itu boleh mengakibatkan masuknya air ke dalam kerongkong. Oleh sebab itu, perkara itu hukumnya  makruh. Berkumur itu cukup dilakukan sebanyak dua kali sahaja, lalu berhenti.
Dasar yang dijadikan dalam masalah ini ialah sabda Rasulullah s.a.w kepada Laqith bin Shabrah,
“Apabila kamu beristinsyaq maka bersungguh-sungguhlah,kecuali kamu sedang berpuasa.”
(HR. Ahmad dan Imam empat. Kata Imam At-Tirmizi, hadith ini hasan sahih).

Oleh sebab itu,para ulama menganggap makruh meletakkan ubat di hidung kerana risau ubat masuk ke dalam kerongkong  seterusnya membatalkan puasa.

4.    Hukum mencium,bersentuhan, dan memikirkan masalah seks bagi orang yang sedang berpuasa. Orang yang sedang berpuasa ia perlu dapat mengendalikan nafsunya ketika mencium isterinya  atau menyentuh kulitnya. Pada dasarnya, mencium dan menyentuh kulit itu hukumnya tidak mengapa, bahkan boleh.

Tetapi bagi orang yang nafsunya tidak dapat dikawal, mencium dan menyentuh kulit isterinya itu,hukumnya makruh. Demikian pendapat para ulama daripada mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali. Manakala menurut para ulama daripada mazhab Maliki dan As-Syafi’i, mencium isteri itu hukumnya makruh. Dan jika ia boleh menimbulkan fitnah, hukumnya haram. Demikianlah pula dengan menyentuh kulitnya.

  Jika seseorang mengetahui apabila ia mencium atau menyentuh kulitnya isterinya boleh membuatnya mengeluarkan air mani, maka hukumnya adalah haram. Dalil yang digunakan oleh para ulama fiqh dalam masalah ini adalah hadith qauli (ucapan) dan hadith fi’li  (perbuatan). Pertama adalah hadith yang menyatakan,

“Sesungguhnya pernah seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang orang berpuasa yang menyentuh kulit isterinya. Beliau memberinya kebenaran. Lalu datang sahabat yang lain kepada beliau menanyakan perkara yang sama , tetapi beliau melarangnya. Perkara itu kerana sahabat yang pertama tadi adalah seorang yang tua , sedangkan sahabat yang kedua masih muda.”
(HR Abu Daud dan Al-Baihaqi dengan yang sanad yang sangat baik)

Kedua adalah hadith yang bersumber daripada Aisyah r.a,
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah mencium dan menyentuh kulit salah satu isterinya ketika beliau sedang berpuasa, dan beliau adalah orang yang paling baik mengawal  nafsunya antara kalian.”
(HR. Imam tujuh selain An-Nasai.)

Jadi hukum mencium dan menyentuh kulit isteri itu bergantung kepada siapa yang melakukannya. Tidak sama antara seorang yang tua dan seorang yang muda. Ada yang mengatakan, kedua-duanya makruh secara mutlak. Jika diragui boleh menimbulkan fitnah,hukumnya haram.

  Jika seseorang yang sedang berpuasa mencium atau menyentuh kulit isterinya, lalu ia terangsang kemudian mengeluarkan air mani, menurut semua ulama, perkara itu membatalkan puasanya. Menurut para ulama daripada mazhab Hanafi,mazhab  As-Syafi’I dan mazhab Hanbali,ia hanya berkewajiban membayar puasanya sahaja. Sedangkan menurut Imam Malik, selain membayar puasa ia juga wajib membayar kafarat. Tetapi jika ia tidak mengeluarkan air mani atau air mazi, berdasarkan kesepakatan para ulama, puasanya tidak batal. Jika ia mengeluarkan  air mazi,puasanya menjadi batal  dan menurut Imam Malik dan Imam Ahmad, ia hanya wajib membayar puasanya sahaja. Manakala menurut para ulama  daripada mazhab Hanafi  dan mazhab As-Syafi’I, hukum air mazi itu sama dengan air kencing yang tidak mewajibkan mandi junub dan juga tidak membatalkan puasa.

  Hukumnya makruh, seseorang memandang isterinya dengan nafsu. Juga hukumnya makruh membayangkan hubungan seks, atau membaca buku-buku berunsur lucah yang dapat membangkitkan keghairahan nafsu. Jika tidak sampai membangkitkan keghairahan nafsu, maka tidak makruh daripada aspek puasa.  Tetapi membaca buku-buku seperti itu dilarang oleh syariat  kerana berpotensi membangkitkan keghairahan seks. Jadi hukumnya pun makruh atau haram.

  Jika seseorang yang sedang berpuasa, memandang isterinya beberapa kali atau membayangkan  hubungan seks sehingga ia mengeluarkan air mazi, menurut Imam Malik dan Imam Ahmad, perkara itu membatalkan puasanya. Sedangkan menurut  para ulama mazhab Hanafi dan mazhab As-Syafi’I, perkara  itu tidak membatalkan puasa, kecuali jika ia boleh mengeluarkan air mazi dengan  cara sebegitu, maka  batal puasanya. Alasannya kerana perkara itu sama apabila ia mengeluarkan air mazi dengan sengaja secara onani. Adapun keluarnya air mazi itu tidak membatalkan puasa, kecuali menurut para ulama daripada mazhab Maliki dan Imam Ahmad seperti yang telah dijelaskan tadi.

Manakala bagi orang yang tidak normal, hanya dengan melihat atau menyentuh bahkan membayangkan wanita sahaja, ia sudah tidak kuat menahan gejolak nafsunya sehingga ia mengeluarkan air mazi. Menurut para ulama daripada mazhab Maliki, bagi orang yang tidak normal seperti itu, hal tersebut tidak membatalkan puasanya. Berbeza jika perkara itu dilakukan oleh orang yang normal. Perkara ini untuk meraikan realiti orang-orang sebegitu dalam kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...