Dari segi bahasa arab, kalimah ‘Zari’ah’ boleh diterjemah sebagai ‘penghubung kepada sesuatu’. Dengan maksud, ia sama maksud dengan wasilah. [Mukhtar As-Sahah : 221]
Adapun maknanya dari segi istilah, Imam As-Syatibi mendefinisikannya sebagai, “penghubung daripada maslahah kepada mafsadah” [ Al-Muwafaqat : 4/199]
Dalam perbincangan maqasid Syariah, Wasilah dibincangkan pada perkara yang boleh membawa kepada maslahah. Adapun Zarai’, ia adalah perbincangan pada perkara yang membawa kepada mafsadah.
Mengikut kebiasaan, kita pernah mendengar dengan istilah ‘Sad Az-Zarai’, iaitu menutup segala pintu-pintu haram. Setiap tindakan yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga dikira haram, berasaskan kepada maksud ‘Sad Az-Zarai’.
Kaedah fiqh ada menyebut;
ما أدى الى الحرام فهو حرام
Maksudnya;
“perkara yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram” [Al-Halal wa Al-haram Fi Al-Islam : 31]
Perlu difahami, menutup pintu haram ini bukan dengan menutupkannya terus, tetapi hendaklah penutupan itu selama tidak melakukan kezaliman. Dengan maksud, ia tidak menafikan hak manusia lain. Juga, hendaklah ia tidak mengandungi unsur, melahirkan kemudharatan yang lebih besar, atau melahirkan perkara haram yang lebih parah.
Ekoran itu, jika dibaca dalam kitab Al-Furuq karangan Imam Al-Qurafi, didapati bahawa Zarai’ ini tidak sekadar larangan melakukan perkara yang diharamkan. Malahan, dalam keadaan tertentu, di sana wujud satu istilah yang disebut dengan nama ‘Fath Al-Zarai’ .
Istilah Fath Az-Zarai’ adalah satu istilah yang dilontarkan oleh Imam Al-Qurafi. Dalam kitab beliau [Al-Furuq], beliau ada menyatakan;
اعْلَمْ أَنَّ الذَّرِيعَةَ كَمَا يَجِبُ سَدُّهَا يَجِبُ فَتْحُهَا وَتُكْرَهُ وَتُنْدَبُ وَتُبَاحُ
Maksudnya;
“Ketahuilah. Sesungguhnya, Zari’ah [pintu-pintu haram] adalah wajib ditutup, dan [ada kalanya] wajib dibuka, dimakruhkan, disunatkan dan diharuskan [dibuka]” [Anwar Al-Buruq Fi Anwa’ Al-Furuq : 3/46]
Difahami dari perkataan beliau ini, dalam beberapa keadaan tertentu, perkara mudharat itu terpaksa dilakukan [walau pada asalnya perkara mudharat itu haram dilakukan]. Malahan, melakukannya itu sehingga menjadi wajib.
Perkataan Imam Al-Qurafi ini, tidak bercanggah dengan sebilangan besar ulama-ulama Usul Fiqh yang muktabar. Ini kerana, Ibnu Qayyim juga ada berkata dalam kitab beliau;
ثُمَّ هَذَا الْقِسْمُ مِنْ الذَّرَائِعِ نَوْعَانِ ؛ أَحَدُهُمَا : أَنْ تَكُونَ مَصْلَحَةُ الْفِعْلِ أَرْجَحَ مِنْ مَفْسَدَتِهِ ، وَالثَّانِي : أَنْ تَكُونَ مَفْسَدَتُهُ رَاجِحَةً عَلَى مَصْلَحَتِهِ
Maksudnya;
“Kemudian pada bahagian ini bahawa zarai’ itu ada dua jenis; [1] bahawa maslahah perbuatan itu lebih rajih daripada mafsadahnya, [2] bahawa mafsadahnya lebih rajih terhadap maslahahnya”
Beliau menyatakan lagi;
وَسِيلَةٌ مَوْضُوعَةٌ لِلْمُبَاحِ وَقَدْ تُفْضِي إلَى الْمَفْسَدَةِ وَمَصْلَحَتُهَا أَرْجَحُ مِنْ مَفْسَدَتِهَا
Maksudnya;
“Penghubung yang harus, kadangkala kepada mafsadah. Namun, maslahahnya lebih rajah berbanding mafsadahnya” [Al-‘Ilam Al-Muwaqiin : 3/344]
Imam Al-Qurafi menyatakan juga;
قَدْ تَكُونُ وَسِيلَةُ الْمُحَرَّمِ غَيْرَ مُحَرَّمَةٍ إذَا أَفَضْت إلَى مَصْلَحَةٍ رَاجِحَةٍ كَدَفْعِ مَالٍ لِرَجُلٍ يَأْكُلُهُ حَرَامًا حَتَّى لَا يَزْنِيَ بِامْرَأَةٍ إذَا عَجَزَ عَنْ دَفْعِهِ عَنْهَا إلَّا بِذَلِكَ
Maksudnya;
“kadangkala penghubung kepada perkara haram, ia tidak menjadi haram; iaitu sekiranya membawa kepada maslahah yang rajah. Contohnya, seperti memberi duit kepada lelaki supaya dia makan benda haram sehingga dia tidak berzina dengan perempuan. Itupun, sekiranya ia tidak mampu untuk mencegah lelaki itu dari berzina dengan perempuan terbabit kecuali dengan cara itu sahaja”. [Anwar Al-Buruq Fi Anwa’ Al-Furuq : 3/47]
KAEDAH-KAEDAH DIBAWAH FATH AZ-ZARAI’
Menurut sebilangan ulama maqasid moden, seperti Dr Ahmad Abdul Karim, Dr Khalifah Abu Bakar, Dr Jasir Audah dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa teori Fath Az-Zarai ini adalah satu perbincangan dibawah;
1- Fiqh Muwazanah [Melayu : fiqh Timbangan]
2- Irtikab Akhaf Ad-Daraian [melayu : melakukan mudharat kecil demi mengelak berlaku mudharat besar], dan;
3- kaedah fiqh yang berbunyi;
إذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ
Maksudnya;
“Apabila sempit sesuatu, maka ia menjadi luas” [Menurut kitab Al-Mansur Fi Al-Qawaid, ibarat kaedah ini adalah datang dari Imam As-Syafie. : rujuk kitab, m.s 58]
Dengan maksud, teori fath Az-Zarai ini adalah digunakan ketika bertembung antara dua kemudharatan [atau : antara dua perkara yang haram], maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Atau dalam perkataan lain, melakukan satu perkara yang haram, demi mengelak berlaku perkara haram yang lebih besar [haram yang mempunyai maalat al-af’al, atau kesan perbuatan yang mempunyai kemudharatan yang lebih besar dan berpanjangan]
Untuk mengetahui timbangan antara perkara mudharat tersebut, hendaklah memerlukan imbangan neraca syariah, yang dibincangkan dalam ilmu Fiqh Muwazanat.
Kemudian, apabila nyata mudharat kecil dan besar, ketika itu perkara yang mengandungi mudharat [atau: haram] yang kecil, terpaksa dilakukan demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar [atau : perkara haram yang mempunyai maalat al-af’al yang lebih besar atau berpanjangan].
Perlu dijelaskan, terpaksa melakukan perkara yang haram itu, bukan bermakna perkara yang haram itu sudah menjadi halal. Tetapi, dilakukan itu dibawah maksud ‘Muaqqat’, iaitu sementara waktu sahaja. Dalam perkataan lain, selama mana wujud penghalang, maka selagi itu perkara haram itu dibenarkan untuk dilakukan. Adapun jika penghalang sudah hilang, maka hukum melakukannya menjadi haram semula, atau kembali kepada hukum muabbad.
Ia seperti, dibenarkan makan babi untuk menjaga nyawa dikala tiada makanan kecuali babi sahaja. Adapun setelah makan, kegawatan nyawa sudah tidak berlaku, maka menambah lagi makan babi adalah haram.
Kaedah fiqh menyebut;
الضرورة تقدر بقدرها
Maksudnya;
“Dharurat itu mengikut kadarnya sahaja”.
No comments:
Post a Comment